Kalamullah

Kalamullah

Wednesday, December 7, 2011

Bila Ia Ditarik....



Astaghfirullah....
Tadi semasa solat di masjid, selepas selesai solat jemaah, ada seorang Akh yang membuat announcement yang memecahkan dan meluluhkan isi hati.

"There is this brother from this mosque, who asked us to pray for his wife. His Wife is in a very critical moment. She can't even recognised him, nor can she recognised their children. She is now in a very critical situation, she can't This Brother asked us to pray for her, since Allah gave her the health and the life, we pray that Allah gave Her back whats best for her"

Tak tahan sangat. Meleleh air mata rasa takut dan sedih
Semasa pengumuman ini, saya sangat-sangat terkesan dengan kata-kata akh ini. Baru terasa yang Allah SWT berkuasa penuh untuk menarik apa sahaja yang Dia berikan pada kita. Sebut sahaja apa pun yang kita rasakan merupakan kepunyaan kita, atau apa sahaja yang kita sayangi, cintai dan takut hilang. Semuanya Dia boleh dan berhak untuk menariknya pada bila-bila masa. Wajah kita? Kekayaan kita? Kejayaan kita? Ibu ayah kita? adik beradik kita? kawan-kawan kita? Keislaman kita? Sebut sahaja apapun, semuanya Dia berhak menariknya dari kita...!!

Semasa ini, terasa longlai dan kerdil betul. Selama ini yang menguatkan diri untuk terus melangkah, yang membuatkan diri rasa cukup berani dan cukup semuanya, adalah kerana aku merasakan aku sedang mengikut dakwah dan tarbiyyah, aku seorang Muslim, dan inshaAllah ini adalah kriteria orang-orang yang dijanjikan syurga. Tapi bila fikir-fikir balik, semuanya boleh dicabut pada bila-bila masa, dan apa jer yang tertinggal untuk aku hujahkan bila aku mati nanti?

Ditambah pula, sebelum pergi solat tadi, ada beberapa ikhwah yang menceritakan kisah Syaitan yang tidak pernah berputus asa untuk membisikkan kejahatan kepada manusia. Yang mana Syaitan itu bertenggek di hati manusia. Dia akan cuba untuk menyesatkan manusia sedaya upaya. Sehinggakan Imam Ahmad, sebelum kematiannya, telah diserang oleh Syaitan. Mereka berkata kepada Imam Ahmad:
"Oh, kau sungguh hebat. Kami mengaku kalah, kami takkan mampu menghasut engkau wahai Imam Ahmad..." Tapi pada waktu ini, Imam Ahmad membalas kepada syaitan-syaitan itu, "Belum lagi. Selagi aku belum mati, aku tidak akan termakan dengan tipu helah kamu wahai Syaitan yang membisikkan!"

Itulah dia.. Bagaimana Syaitan cuba untuk menipu kita. Bayangkan kalau Imam Ahmad menerima ''kemenangan'' yang dikatakan oleh Syaitan. Pastinya pada waktu itu, dalam diri Imam Ahmad akan timbul perasaan bangga dan riya' yang kononnya dialah manusia yang tidak tertewas dek godaan syaitan hinggakan syaitan itu sendiri yang mengakuinya. Pada waktu itu, segala amal dan usaha beliau, akan tinggal sia-sia dan menjadi habuk yang beterbangan.

Apabila semua amal kita hancur dan menjadi habuk/debu yang beterbangan....


Betul lah, Allah telah menyusun hidup kita hinggakan tidak ada yang kebetulan. Baru lepas mendengar kisah Imam Ahmad, tiba-tiba Allah temukan pula dengan kisah di masjid. Nak tunjukkan, semua ni'mat boleh ditarik balik, dan semua usaha dan penat lelah kita boleh menjadi sia-sia. Maka selama mana kita masih lagi merasai dan menikmati nikmat Islam, maka marilah kita menghargai dan memanfaatkannya. Inilah masanya untuk kita benar-benar memahami Islam, dan menyumbang kepadaNya. Dan teruskan berdoa, Moga Allah tetapkan hati kita dijalanNya... Dan kita yakin, dengan lagi banyak amal kita yang penuh keikhlasan, Allah akan menguatkan hati kita. Moga ni'mat yang paling besar, yakni ni'mat Islam kekal dalam hati kita selama-lamanya....

Wallahua'lam

Saturday, November 12, 2011

Daie itu bukan Hakim..

 

Sukar sebenarnya sebagai seorang daie, kita ingin membersihkan jiwa kita dari sebarang bentuk perasaan. Cukup mudah kita terlanjur menilai tanpa cuba untuk membantu. Kita jadi orang yang menghakimi perbuatan seseorang, kita mula mengkritik itu dan ini. InshaAllah, kalau kritikan dan nilaian itu unsurnya untuk takwin, mungkin ianya akan membawa kemaslahatan. Tapi bagaimana kalau ada antara kritikan itu terlanjur jatuh pada nafsu? Jatuh pada ego? Jatuh pada Dzon? Jatuh pada bisikan Syaitan?


Pernah sekali, dalam satu kisah, Usamah Bin Zaid meriwayatkan,
"Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Al-Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki, lelaki tersebut menyebut لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah.
Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap demikian kerana takutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita untuk menyerah diri pada ketika itu juga. 


Ada sebuah kisah lagi, kisah Miqdad.
Beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu sekiranya aku berjumpa dengan seorang lelaki dari golongan orang-orang kafir, lalu menyerangku dan memotong salah satu dari tanganku dengan pedangnya. Kemudian dia lari dariku dan berlindung di sebalik sepohon kayu, lalu berkata, aku menyerah diri kerana Allah. Adakah aku boleh membunuhnya selepas dia mengucapkan ungkapan itu? 
Rasulullah bersabda: Janganlah engkau membunuhnya. Miqdad tidak berpuas hati lalu membantah: Wahai Rasulullah! Lelaki itu telah memotong tanganku kemudian telah mengungkapkan ungkapan tersebut selepas memotongnya, adakah aku boleh membunuhnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membunuhnya, sekiranya kamu membunuh lelaki itu, sesungguhnya dia seperti kamu sebelum kamu membunuhnya dan sesungguhnya kamu sepertinya sebelum dia mengucapkan perkataan tersebut. 


Demikianlah dahsyatnya amaran Rasulullah SAW. Baginda melarang pembunuhan ke atas orang yang kononnya masuk Islam kerana takut dibunuh. Kata baginda, 'Aku tidak diutus untuk menghakimi hati manusia". SubhanaAllah.... Dan apakah kita telah membelah dada saudara kita untuk kita sewenang-wenangnya membuat penghakiman untuknya? Tidakkah kita lupa, hanya Allah-lah yang berhak menghakimi seseorang, dan Dia-lah yang Mengetahui segala isi hati. Serahkanlah semua itu kepadaNya.


Kita tidak akan tahu, mungkin sahaja sesuatu yang dilaksanakannya bukan benar-benar kerana Allah, tapi ia adalah langkah ke arah itu. Contohnya, Abu Talhah telah masuk Islam kerana ingin mengahwini Ummu Sulaim. Tapi setelah Islam benar-benar masuk ke dalam hatinya, Abu Talhah sendiri telah mendesak Khalifah untuk menerima dirinya sebagai salah seorang pejuang untuk sama-sama berjihad. Bukti dan tanda kesetiaan dan kasih kepada Allah SWT telah mendahului segala-galanya. Infiru...! Infiru...!


Maka ikhwati fillah sekalian..
Sedarlah kita bahawa kita tidak mempunyai langsung hak untuk mengadili ataupun menghakimi hati manusia. Kita harus menjadi sensitif dan menilai keadaan, tapi jangan sekali-kali menghakimi syurga dan nerakanya seseorang. Dan sentiasa berlapang dadalah, itu serendah-rendah ukhwah yang diharapkan.

Wallahua'lam










Tuesday, November 8, 2011

Hidayah itu, bukan dari kita



Pagi ini mentari muncul perlahan-lahan. Gamaknya, sepanjang hari tidak secerah biasa. Laporan cuaca pun menunjukkan hari akan mendung. Oh, tidak, sepanjang minggu akan mendung tanpa Matahari.

Dan sangat betul kata orang, dalam kemendungan dan kesejukan musim sejuk ini, penyakit futur sangat mudah menghinggap para daie. Kita akan berasa selesa dan ''justified'' untuk berehat. Aku ingin tidur, oh sebab cuaca mendung dan badan pun penat. Dan inilah masanya dimana kita sangat-sangat perlu berjihad melawan nafsu. Kita perlu menentang semua perasaan selain iman. Apatah lagi, dalam keadaan begini, barangkali tak semua yang kita harap dan rancangkan akan berjalan dengan lancar. Tapi tabahlah! Jangan terus patah dan menguncup. Daie harus bangkit dan teguh.

Kadang terasa, tak kira sebanyak mana kita cuba untuk menaikkan semangat dan mengekalkan kesungguhan, hakikat dan realiti yang berada dihadapan kita akan sangat selalu menjunamkan semuanya. Apatah lagi, setelah kita penat membina, sehingga kita sendiri yakin binaan itu telah kukuh, dan kita mula memberi mas'uliyah dan pertanggungjawaban, dengan harapan semua ini akan membina pengalaman dan seterusnya menjadikan binaan tadi lebih kukuh. Tapi semuanya semakin tinggal teori dan angan-angan. Tak pernah disangka, binaan tadi rupanya masih belum bersedia. Masih belum cukup kokoh untuk ditiup angin. Bukan marah, tapi sebenarnya, lebih kepada kecewa.

Mungkin sahaja ada kelompongan dalam diri ini yang menyebabkan keadaan ini. Oh, tidak, pastinya ada kecacatan dalam diri aku sehingga kesannya begini. Astaghfirullah. Ya Allah, janganlah Kau jadikan aku sebagai punca dan sebab kelemahan ini. Tunjukkanlah aku jalan untuk memperoleh rahmat dan keredhaanMu. Kuatkanlah hati dan kobarkanlah semangatku, Ya Rabbal A'lamin.


Friday, November 4, 2011

Sabar dan Kasih




Benar. Hidup ini akan menemukan kita dengan banyak manusia. Dan percayalah, tidak seorang pun manusia yang kita temui, adalah tidak sengaja. Semuanya, sudahpun dalam perancangan Allah SWT. Ya, setiap insan, tidak kiralah orang yang membenci kita, orang yang menganiaya kita, orang yang mengasihi kita, orang yang sering membantu kita, ataupun orang yang ikhlas menyayangi kita sebagai seorang sahabat. Semua ini, tidak pernah sesekali dipertemukan dengan kita dengan tidak sengaja, sebaliknya, semua ini adalah ujian dari Yang Maha Esa untuk kita. Menguji, adakah dengan derita, kita akan kembali menghadap Allah, melutut memohon keampunan, merintih meminta petunjuk. Dan adakah dengan bahagia, kita tidak berpaling, malah kekal melutut kepadaNya, tanda seorang Abid yang setia.


Dan, dalam menghadapi dan menemui manusia dalam kehidupan ini, perasaan yang seharusnya membuak-buak dalam diri kita adalah perasaan sabar dan kasih. Perasaan cinta dan sayang yang amat sangat kepada setiap manusia. Kerana kita tahu, kita sendiri ingin dikasihi dan disayangi, adakah mereka tidak punya perasaan yang sama? Kalau Allah SWT sendiri sifatnya Ar-Rahman dan Ar-Rahim, mengapa kita tidak mahu mengasihi manusia lain? Benar, mungkin ada sifat-sifat yang kita benci dalam diri manusia lain. Kita tidak sukakan sifat yang mencela, sifat sombong, dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Tapi itulah gunanya kita menyayangi mereka, kerana kita sedar, kita sangat perlu untuk membantu mereka menyedari keburukan itu dan berubah. Tapi perubahan bagaimana yang mampu kita lakukan, andai tidak ada walau sekelumit rasa sayang.


Dalam melihat keburukan manusia, cubalah pandang kebaikannya. Nabi Yusuf pernah bersama-sama dengan ummatnya, mereka terjumpa satu bangkai Kambing. Semua sahabatnya mengutuk kambing itu busuk, kotor, berulat dan sebagainya, tapi perkataan pertama yang keluar dari mulut baginda, ialah ''putihnya gigi kambing itu''. Demikianlah, akhlak mulia yang dianjurkan. Kita cuba sentiasa melihat bahagian kebaikan, dan jagan terlalu pessimist dengan keburukan yang terhidang. 


Firman Allah:

ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ 
Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang
Al-Balad; 90:17



Ayuh, kita berkasih sayang~~



Sunday, October 23, 2011

Tarbiyyah, Proses Insaniyah




Apabila sinar hidayah memenuhi benak dada kita, maka akan timbul satu perasaan. Perasaan untuk berubah dan menjadi lebih baik. Ingin sekali untuk menjadi hamba yang paling zuhud, paling ridho. Itulah ni'mat mendapat sinar hidayah. Ni'mat untuk berubah.


Tapi wahai ikhwati sekalian.
Perubahan adalah satu proses, begitu juga dengan tarbiyyah. Benar, tarbiyyah itu mengubah, namun perubahan yang kita harapkan bukanlah satu lakonan atau satu pakaian. Tapi perubahan yang kita harapkan adalah perubahan hati, bergeraknya satu posisi kepada posisi yang lain atas kefahaman. Atas kesedaran. Dengan penuh rela dan yakin. Benar, kita mahukan perubahan itu berlaku dalam diri kita, tapi kita harus sedar, seorang insan tidak mungkin berupaya untuk bertindak seperti mesin, yang ada butang on dan off nya.


Maka transisi dari satu titik ke titik yang seterusnya memerlukan banyak pengorbanan. Memerlukan masa. Memerlukan kesungguhan. Memerlukan keazaman. Dan tentunya, memerlukan KESABARAN.


Banyak insan yang terlupa hakikat keinsanan yang ada dalam diri mereka. Mereka terlalu asyik dengan kehebatan dan kemampuan orang lain, sedangkan mereka terlupa terus asal usul dan sejarah hidup mereka. Mereka terlupa terus kemampuan dan kebolehan diri mereka. Maka mereka bertindak gopoh, melompat jurang yang terlampau besar. Akhirnya, mereka jatuh dan terasa pedih dan kecewa. Saat itu, mampukan semangat terus menyalakan jiwa? Mampukan keinginan terus menguasai tubuh badan kita? Atau akan tumbuh bibit-bibit kekesalan, rasa tidak mampu, dan mula tercungap-cungap mencari pintu keluar.


Akhi, jalan ini tidak pernah berpintu. Ia tidak ada pintu masuk, dan tidak pula ada pintu keluar. Jalan ini adalah Jalan Juang, yang mulanya pada saat kita membuka mata, dan akhirnya pada saat roh kita mencari Tuhan Yang Maha Esa.


Akibatnya, kita terlupa pengajaran dari hidup si Beluncas. Hidupnya penuh perlahan dan hati-hati. Hidupnya juga tidak seceria mana. Apabila ia 'sedar' masanya tiba untuk berubah, maka ia pun mula menjadi seekor pulpa. Juga perlahan-lahan, sang pulpa menanti masa. Dia terlalu ingin menjadi seekor rama-rama. Tapi ia sedar, perubahan yang ia harapkan, mestilah datang sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya. Maka sang pulpa terus menunggu. Sehinggalah satu hari, apabila dirasakan secara ''natural'', tubuhnya sudah kuat, maka sekali lagi Sang Pulpa menjadi seekor rama-rama. Rama-rama yang cantik, riang dan menarik. Apa jadi kalau si Beluncas mahu menjadi rama-rama sekelip mata? Tidakkah dia akan hanya bermimpi? Dia perlu melalui proses itu: tarbiyyah. Bagaimana pula kalau Sang Beluncas mahu cepat terbang? Jangann! Nanti kalau terlalu cepat, perubahan itu tidak kekal. Sayap yang tumbuh akan layu dan akhirnya rama-rama akan mati dengan begitu cepat.


Itulah sunnatullah yang mahu diajarkan pada kita. Jangan terlalu gopoh dalam melakukan perubahan. Baik pada diri sendiri, mahupun pada diri orang lain. Tapi maksudnya disini, bukan terus menunggu dan tidak melakukan apa-apa, itu salah sama sekali..!! Kalau beluncas tidak menjadi pulpa, dia tidak akan boleh menjadi rama-rama. Perubahan perlu dilakukan, tapi seiring dengan masa. Itulah yang sukarnya, dalam hidup ini, semuanya atas ''kehakiman'' yang kita letakkan. Neraca mana yang kita gunakan. Kita juga yang kena memilih, tindakan apakah yang terbaik untuk dilaksanakan.



مَا لَكُمۡ كَيۡفَ تَحۡكُمُونَ (٣٦) أَمۡ لَكُمۡ كِتَـٰبٌ۬ فِيهِ تَدۡرُسُونَ (٣٧) إِنَّ لَكُمۡ فِيهِ لَمَا تَخَيَّرُونَ (٣٨) أَمۡ لَكُمۡ أَيۡمَـٰنٌ عَلَيۡنَا بَـٰلِغَةٌ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۙ إِنَّ لَكُمۡ لَمَا تَحۡكُمُونَ (٣٩) سَلۡهُمۡ أَيُّهُم بِذَٲلِكَ زَعِيمٌ

Mengapa kamu [berbuat demikian]: bagaimanakah kamu mengambil keputusan? (36) Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab [yang diturunkan Allah] yang kamu membacanya?, (37) bahwa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu. (38) Atau apakah kamu memperoleh janji-janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami, yang tetap berlaku sampai hari kiamat; sesungguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan [sekehendakmu]? (39) Tanyakanlah kepada mereka: "Siapakah di antara mereka yang bertanggung jawab terhadap keputusan yang diambil itu?" (40)




Pada akhirnya, kita akan ditanya, adakah kita melalui proses itu dengan sebaik-baiknya, atau kita mengurangi, ataupun melebihinya.

Monday, October 17, 2011

Istiqamah


Kunci kepada satu perjuangan, atau dalam kata lainnya, 3 wasilah umum dakwah:
1)Imanul Ameeq
2)Takwinul Daqiq
3)Amalul Mutawassil

Dan yang paling peritnya, adalah Amalul Mutawassil. Kerana had perjuangannya, dari mula kita bernafas, sehingga tercabutnya roh dari jasad. Istiqamah. Berterusan.

Sungguh, dakwah bukan sekadar sebuah projek mega. Yang akan memakan masa kita, sehinggalah projek itu berjaya. Tapi dakwah adalah benih kehidupan dan nyawa. Ia adalah hirupan udara, degupan jantung, malah ia adalah punca ataupun sebab yang melayakkan kita untuk terus hidup.

Maka ayuhlah, kita cuba mencari rentak paling sempurna untuk terus istiqamah. Terus dan terus melangkah tanpa henti. Setiap kali jatuh, bangun semula. Setiap kali terpesong, kembali! Setiap kali suudzon, jernihkan dgn husnudzon. Istighfar dengan setiap dosa. Setiap kali rasa marah, tenang, istighfar dan ingatkan jiwa akan kekerdilan kita sebagai hamba. Sabar itu barangkali lebih mahal harganya dari segala amalan yang pernah kita lakukan. Setiap retak-retak dalam hidup ini, tidak lain hanyalah akan menjadikan jalan ini makin susah. Maka hindarilah semua itu, sinarilah dan pancarkanlah dengan cahaya keimanan dan kasih sayang. Tanpanya, tidak mungkin bendera ini mampu dipegang lama. Ia pasti akan jatuh tidak bersambut. Dan pada waktu itu, barangkali tiada lagi jalan kembali.

Wallahua'lam

Tuesday, October 11, 2011

Taman Syurga



Obsesi seorang muslim itu seharusnya pada akhirat. Pada ganjaran dan habuan yang ditawarkan pada hari yang tidak ada penyelamat selain Dia. Itulah obsesi KITA yang sebenarnya.

"ada si fulan, yang hidupnya di dunia penuh sengsara, penuh dengan kesusahan dan kepayahan. Ujian datang silih berganti, hidupnya tidak pernah senang dan penuh pancaroba. Akan tetapi, di hari kiamat, si fulan telah dicelupkan sekejap sahaja di dalam syurga, dan apabila dia ditanya, apakah dia pernah merasai kesusahan, maka jawabnya, demi Allah, aku tidak pernah merasai kesusahan, walau sedikitpun."

"Ada si fulan yang lain pula, hidupnya di dunia penuh kemewahan. Dia sentiasa dalam keadaan sangat bahagia dan kaya-raya. Segala nafsu yang terbayang olehnya semuanya diperoleh dengan mudah. Dia cukup senang. Tetapi, di hari akhirat, dia dicelupkan sekejap sahaja di dalam neraka, dan apabila dia ditanya apakah dia pernah merasai kesenangan, maka dia menjawab, demi Allah, aku tidak pernah merasai kesenangan, walau sedikitpun."

Demikianlah dahsyatnya gambaran syurga dan neraka. Taman syurga umpama nikmat yang terlampau hebat, sehinggakan seorang yang penuh tersiksa di dunia apabila memperolehnya merasakan seolah dia tidak pernah merasai susah pun. Dia lupa akan semua kesusahannya kerana merasai nikmat yang tidak terhingga di syurga. Tapi lubang neraka pula, amat dahsyat seksaan dan sengsaraannya. Sehinggakan, seorang yang penuh mewah dan senang, terus melupai yang dia pernah merasai kesenangan dan kemewahan. Kepedihan dan keperitan api neraka melucutkan terus segala perasaan indah yang pernah dinikmatinya.

Maka kerana itulah, obsesi seorang muslim itu ialah pada akhiratnya. Kita mengejar apa yang disana.

Dan menyoroti jalan yang pernah dilalui insan-insan yang hebat, para anbiya' dan tabi'in, kesemuanya melalui jalan yang penuh keperitan. Tapi kini, mereka pastinya sedang berehat lega dan penuh tenang di bawah pohon syurga. Pastinya mereka sedang bersenang-senang menikmati ganjaran atas segala pengorbanan yang telah mereka lakukan. Taman-taman syurga pastinya bangga menerima mereka sebagai penghuni. Setiap peluh dan darah yang mereka gadai dan pertaruhkan untuk agama, semuanya dicatat dan dibalas dengan sebaik-baiknya. Dan nah, manisnya perjuangan itu, adalah pada akhirnya, setiap pejuang itu akan berada di syurga, menikmati segala janji yang diberikan. Lihat dan baca sahajalah kisah-kisah mereka ini.

Maka siapa pula yang tidak mahu mengikuti jejak mereka. Mereka sudahpun berada di tempat yang terbaik. Obsesi mereka membawa mereka ke syurga. Kita?

Wallahua'lam

Saturday, October 1, 2011

Terik Tarbiyah




(67:2)
"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk Dia menguji siapa antara kamu yang paling baik amalannya. Dan sungguh, Dialah yang Maha Agung, Maha Mengampuni"

Hidup, salah satu dari ciptaan Al-Khaleeq. Mati, juga ciptaanNya.
Dan antara kedua-duanya, adalah lapangan amal. Dan lapangan ini, memerlukan kecekalan dan keutuhan jiwa. Cukup sukar.

Kita perlu untuk mematangkan tarbiyyah diri. Andai kita gagal melakukan ini, nescaya akan terurai ikatan dan kefahaman yang ada. Akan perlahan-lahan, jiwa dan emosi kita larut dalam lautan dunia. Tujahan dan hempasan ujian, pastinya akan menghakis keimanan yang telah terbina. Dan andainya bangunan ini tiada sokongan, nescaya walau sekukuh dan kuat manapun ia, pasti akan tumbang jua akhirnya.

Kemudian, datang pula isu dakwah. Apa lah gunanya tarbiyyah yang makin meninggi seandainya ia statik dan berhenti? Tapi kalau kita melangkah untuk berdakwah, kadang terasa seolah meredah angin halilintar. Dan dengan mudah dan pantasnya, segala muwasafat yang terbina, seolah lesap tanpa kesan. Apakah ini signal kelesuan iman?

Oh, teriknya tarbiyah.

Mana tidaknya, tanpa dakwah juga, tarbiyah yang membina jiwa kita akan makin layu dan kelam. Makin dilupakan. Makin tenggelam. Perlunya medan amal yang memacu kimpalan kefahaman.

Andai kita ingin memahami sesuatu, kita perlu dengar, faham, dan terus amalkan. InshaAllah tidak sesukar mana. Tapi untuk kita memberikan kefahaman kepada seseorang, apa pula langkahnya? Apa ukuran keberjayaannya? Dimana garis penamatnya? Apakah ianya mudah untuk disalurkan? Atau akan bergeser dan terluka sana sini?

Pada waktu ini, teringat satu konsep yang cukup indah.
"Selemah-lemah ukhuwah ada Salamatus Sadr(berlapang dada), dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah itsar(mendahulukan orang lain)."

Sejauh mana kita mampu merealisasikan tarbiyah ini, dalam kehidupan kita? Dan bukankah tarbiyah mengajarkan kita untuk hidup dengan kefahaman, menjadi hidup berjalan sambil melambang dan mengajarkan kefahaman tersebut?

Wallahua'lam





Wednesday, September 14, 2011

Kaca Mata Yang Berubah



Lama benar tak menulis kalam di muka ini. Baru terasa, hidup sebenarnya, jauh lebih mencabar dan sukar jika hendak dibanding dengan teori, ataupun dengan kata-kata. Jauh benar perjalanan yang harus ku tempa, untuk benar-benar mencapai matlamat dan tujuan yang selama ini didamba.

Selama ini, aku gambarkan hidup ini umpama satu perlumbaan. Sabaaq. Berlumba ke arah mana? Berlumba supaya menjadi yang paling baik, paling hebat dan paling berdedikasi. Ingin berada paling atas sekali. Perkara lain, semuanya kelihatan kecil dan tidak bermakna, yang paling penting, aku berjaya meletakkan satu noktah atas semua nama lain. Aku paling atas.

Sukar, cukup sukar untuk mengubah pemikiran begini. Bahkan, mungkin sahaja setelah berlalu deru angin dan halilintar, jiwa ini masih belum sesuci yang diharapkan. Masih belum segar dari palitan jahiliyah yang mengecewakan. Oh, inilah jahiliyah yang sangat besar, yang sangat perlu dibersihkan. Kerana jahiliyah ini bermain dengan Ilah, bermain dengan tuhan yang Aku sembah. Apa status syahadahku, tatkala segala yang dilakukan bukan pusatnya Allah? Munafik apakah aku ini, masih berani untuk mengucap kata dusta pada Tuhan sekalian semesta? Oh, berhala begini sebenarnya yang selama ini aku lolong dan pekikkan. Patutlah semuanya serba tak kena, serba kucar-kacir. Aku sedang kufur kepada Tuhan yang Satu.

Perlahan-lahan aku sedar, hidup ini bukanlah semata-mata untuk menjadi yang paling baik, sebaliknya lebih kepada untuk memberikan segala-galanya yang bisa menzahirkan manfaat paling besar buat keseluruhan manusia. Ya, aku tersentak menyedari, hidupku adalah untuk menjadi khadam, menjadi hamba untuk memberikan yang paling baik kepada keseluruhan alam. Maknaya, susah payah jerih penat yang harus aku alami, bukan untuk aku gembira dan selesa. Sebaliknya, untuk aku melihat orang-orang lain bebas dari perhambaan, suci dan bersih dari kesengsaraan tipu daya dunia. Itu, satu hakikat yang sukar diterima akal.

Apabila hidup ini melibatkan hablum minallah, dan hablum minannas, maka segala paksi selama ini, sudah bertukar. Paksi kejayaan, kegemilangan, yang semuanya datang kepadaku, semuanya harus bertukar kepada satu: DAKWAH. Perkataan yang selama ini tidak pernah aku fahami lebih daripada sekadar ibadat kepada Allah. Perkataan yang mengajar erti manusiawi, hakikat dan realiti insan yang selama ini aku ketepikan kerana sentiasa melihat diriku sendiri tanpa mempedulikan langsung manusia yang lain.

Ya Allah, teruslah memandu hambaMu dalam memahami erti kehidupan ini. Dan ya Allah, janganlah Engkau Palingkan hati ini, setelah Kau beri petunjuk. Sungguh, biarlah jiwa ini tidak sesekali berdetik, melainkan untuk terus berusaha mencapai ridhoMu.



Tuesday, June 14, 2011

Buah Catur



Gerak si buah catur
Sudah diatur sang pemain
Tatkala diarahkan kedepan
Maka jiwa atau perasaan mana yg mampu menahan?

Oh, hidup ini andai semuanya tentang perasaan
Mungkin lebih warna warni
Mungkin juga terlalu kucar-kacir
Kerana jiwa kan sentiasa berperang

Oh si buah catur
Mungkin sekali gusar kelam mu kau rasa hilang
Tapi yakinilah, tenang sang pantai
Tak akan terselindung dari seliratnya sang ombak

Oh bulan
Ku pelik, mengapa sehingga begini jadinya
Benarlah, aku di bumi, terlalu jauh dari melihatmu
Tapi selama ini, cahaya yang kau pantulkan yang jadi tali hubungan kita. Saatnya kau kelam, terlalu sukar untuk ku cari jasadmu itu.

Barangkali hidup ini memang sedemikian
Tiada hubungan yang kan kekal abadi
Yang tinggal, hanyalah mimpi dan kenangan
Yang mengisi singkatnya kehidupan

Terasa terkilan
Melihat realiti membaham fantasi
Memamah segala mimpi dan cita
Menjadi pahit dan tajamnya hakikat kehidupan

Wahai hati, jangan sekali kau tangisi
Kerna hidup terlalu singkat untuk menyesali
Maka kejarlah lagi
Angan-angan dan senyuman
yang bakal kembali


-Rintihan hati yang baru tersedar realiti kehidupan yang penuh warna warni-

Friday, May 27, 2011

Fastabiqul Khairat



Hidup kita ini, tunjang dan asasnya cuma satu: Ghoyatuna

Itu sahaja sebenarnya qiblat dan matlamat kita. Mahukan Allah, merelakan diri sebagai hamba Allah yang satu. Kita dimestikan untuk berfikir, dalam kehidupan yg cukup singkat ini, apa sebenarnya yang kita ingin jadi, untuk benar-benar mendpat ghoyah tadi.

Lihatlah dalam cermin, lantunan imej diri kita sendiri. Apakah segala yang kita ada pada hari ini sudah cukup untuk menarik jutaan manusia dari lautan jahiliyyah kepada gelombang Islam? Apakah kapasitas kita sebagai seorang daie telah cukup besar dan kokoh, untuk kita gegarkan benteng Jahiliyah dengan tunjang Iman? Apakah amal kita sudah cukup ikhlas dan jujur, apakah Ihsan itu amalan setiap saat kita?

Demikianlah, seorang daie bisa mempersoalkan segala persoalan diatas. Mencari ruang untuk memperbaiki dirinya, lantas memperbaiki kondisi umat sekaliannya. Prioritasnya hanya satu: Ghoyahnya. Selagi setiap tindakannya membawa dia selangkah hampir Tuhannya, selagi itulah, tiada yang bisa menahannya. Tidak akan pernah dalam hidup seorang daie, masanya kosong, seolah tiada lagi ciri yang perlu dia baiki.

Ayuh, target kita membina individu manusia, kader dakwah yang tegar mempertahankan aqidah Ummat. Maka, carilah di celah-celah masamu, untuk menyumbang, barangkali sumbangan yang sedikit itu menjadi pembeza antara syurga yang indah, dan neraka yang menyeksa. Hidup ini tidaklah melainkan satu perjalanan yang singkat, kesakitan didalamnya terlalu sekejap untuk dirasai sekalipun.

Wallahua'lam

Monday, May 9, 2011

Semangat...?


Semangat selalu diibaratkan seperti obor api yang menyala-nyala. Bercahaya, lagi menerangkan seluruh kawasan disekelilingnya.

Dan semangat lah antara pemangkin paling hebat dalam merancakkan dakwah. Tak kiralah dimana pun, tanpa semangat yang menyala-nyala, pastinya para daie akan kelihatan lesu penuh tidak bermaya. Adalah sesuatu yang biasa kita lihat, apabila ada sahaja seorang ikhwah yang benar-benar bersemangat, maka semangatnya itu akan terpercik kepada ikhwahnya yang lain, lantas menjadikan mereka sekumpulan rijal yang berkobar-kobar untuk menginfaqkan diri untuk dakwah.

Maka... persoalannya disini.. Adakah benar semangat itu sangat penting? Jika ya... Bagaimana cara untuk kita menjadikan diri kita bersemangat?

Hakikatnya, semangat itu bukanlah satu objektif. Ya, ia bukan matlamat.

Sebaliknya semangat itu adalah juga merupakan hasil daripada kefahaman yang terbina dalam diri.

Semangat yang dipaksa, yang diapi-apikan, mungkin adalah jauh lebih ''instant'' dari semangat yang lahir dari kefahaman. mana tidaknya, kefahaman perlu dibina perlahan-lahan, dan kemudian kefahaman ini pula perlu meresap dalam tubuh untuk semangat itu lahir. Prosesnya mungkin mengambil masa, malah mungkin juga semangat itu tak lahir-lahir sehingga sekian lamanya.

sebaliknya, semangat yang timbul atas sebab provokasi, atas sebab paksaan, atas sebab melihat kepada keadaan sekeliling, ataupun kata mudahnya, semangat yang lahir atas faktor-faktor luaran yang bukannya dari kefahaman, sepantas kilat akan membakar. Sekelip mata akan berkobar. Tapi gemerlapannya hanya sebentar. Kilauan apinya hanya sekejap. Tidak tahan lama. Habis bahan bakarnya, maka lesaplah unggun apinya.

Benar, kita memerlukan semangat, jika tidak, kelesuan yang membanjiri para daie akan sedikit-demi-sedikit mematikan keseluruhan perjuangan ini. Berapa ramai daie yang lesu dan penat, akhirnya futur di tengah jalan. jatuh, tidak mampu untuk bangun kembali. Berapa ramai daie yang kering semangat juangnya, maka apabila dicabar dengan ujian dan bahaya, maka dengan pantasnya ia akan kebelakang dan membatu. Melarikan diri.

Tapi awas.. Tanyalah diri kita, apakah semangat yang mengalir dalam tubuh ini, atas dasar kefahaman, atau atas dasar paksaan? Jika yang kedua, maka berhati-hatilah, barangkali bahan bakarmu akan kehabisan bila-bila masa. Jika itu yang berlaku, awaslah, lubang-lubang terbentang licik, mencari mangsa seterusnya yang akan jatuh terkulai.

Kobarkanlah api semangatmu, daripada kefahaman bahawa dunia ini sementara, dan mati itu adalah pintu rahmat, untuk memperoleh ganjaran atas segala pengorbanan. Bakarlah api semangatmu, dengan kefahaman bahawa dunia ini jika ingin dibandingkan dengan akhirat, hanyalah umpama titisan air dengan lautan yang ultimate luas.

Dengan kefahaman yang kukuh, andainya semangat itu hilang sekalipun, ia umpama lampu, yang mampu dicari suisnya, untuk kembali menerangi menyuluh perjalanan. Jika tidak, barangkali ia hanya umpama unggun api yang menunggu masa untuk mati.

Berapa ramai rijal hari ini, yang pada suatu ketika dahulu gah dengan obor semangatnya, hujanan kata-kata mewarnai harinya, jihad senantiasa menjadi rutinnya, namun hari ini... Dia kelihatan lesu dan penat, umpama sudah terlalu kering darah dalam tbuhnya. Dia kelihatan umpama mayat yang masih berjalanan. Kini, apabila dibanjiri kekecewaan, didatangi dengan derita, dihujani dengan ujian yang menyeksakan... Maka sekelip mata, api semangat itu dicurahkan dengan pasir, yang terus memadam menghitamkan, segenap ruang.

Ayyuhal Syabab!! Api semangat dalam jiwa mu itu menunggu-nunggu untuk dinyalakan. Maka nyalakanlah dengan obor kefahaman, nescaya ia akan kekal untuk sekelian zaman...



Saturday, May 7, 2011

Burung Nuri, dan KITA...


Tersebutlah kisah seekor burung nuri. Bulunya hijau berekor kuning. Burung yang comel dan sangat aktif. Sejak pagi ia sudah bangun untuk memulakan hari, ketika tuannya masih lagi tidur. Ya,burung itu bertuan. Si nuri adalah haiwan peliharaan. Tinggal dia di dalam sangkar besi yang disangkut di hadapan rumah. Sejak pagi si nuri bangun. Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Orang yang melihatnya menyangka si nuri gembira. Malah si nuri pun menyangka dirinya gembira. Si nuri hidup dalam sangkar sejak lahir. Tidak tahu hakikat kebebasan.

Pada satu hari ada burung merpati yang datang ke sisi si nuri. Burung merpati menceritakan dunia luar yang bebas.si merpati menawarkan diri untuk membebaskan nuri. Pada mulanya nuri tidak tertarik malah mempersoalkan: "kenapa aku mahu keluar? Aku tengok burung diluar setiap mengalami kesusahan, bangun pagi mencari rezeki, sedangkan rezekiku setiap hari pasti disediakan tuanku." Namun si merpati tidak berputus asa. Pertemuan demi pertemuan berlaku. Si merpati kasihankan si nuri. Si merpati mahu si nuri merasai nikmatnya terbang ke angkasa. Setelah satu sela masa, si nuri bersetuju untuk keluar dari sangkar dan terbang mengikut merpati. Kali pertama keluar dari sangkar, si nuri merasakan ketidakselesaan yang amat. Tidak sampai satu minit keluar dari sangkar, nuri terbang ke sangkar semula. Merpati tetap menemani nuri. "kita cuba lagi nanti," kata merpati. Setelah itu nuri cuba keluar lagi. Semakin hari tempohnya semakin lama hinggalah tiba satu hari, nuri bertekad untuk meninggalkan sangkar untuk selama-lamanya. Nuri terbang mengikut merpati, seperti biasa, namun lebih jauh dan lebih tinggi. Saat itu, tidak tergambar kebahagiaan di hati nuri. Rupa-rupanya inilah kegembiraan bebas di angkasa yang diceritakan merpati setiap hari. Kemudian nuri meluahkan perasaan terima kasih kepada merpati, "Terima kasih kerana sabar dalam membimbing aku hingga aku betul-betul bebas seperti sekarang, namun hari ini aku mahu bertanya, apakah yang mendorong kau menolong aku walaupun dengan segala kerenahku dahulu?" Merpati pun menceritakan, "Pada satu masa dahulu, aku pun sepertimu, hanya seekor burung di dalam sangkar. Merasakan diriku gembira. Kadang-kadang aku ingin bebas tetapi tidak mampu. Hinggalah satu masa seekor burung datang padaku sepertimana aku datang padamu. Dia lebih sabar mendidikku dengan kerenahku lebih dari sabarku mendidikmu. Begitulah kisahku." Kemudiaan merpati menyambung lagi, "Nah, sekarang kau pergilah teruskan hidupmu!"

Kisah merpati sentiasa terngiang-ngiang di ingatan nuri. Segala pesanan-pesanan masih tegar dalam memori. Segala panduan hidup kini diamalkan sehari-hari. Pada suatu hari, ketika terbang mencari makanan, si nuri terjumpa seekor burung di dalam sangkar menyanyi-nyanyi. Tanpa berfikir panjang si nuri terus terbang ke sisi sangkar dan memulakan perbualan, "Mahukah kau aku ceritakan tentang kebebasan?"


***Bagaimanakah kita..? Apakah kita akan menjadi seperti burung Nuri yang mencari burung-burung lain yang ditipu dengan ''keindahan'' sangkar, untuk membebaskan mereka, ataupun kita ingin terus dengan kehidupan biasa kita, yang senantiasa menyangka diri gembira sedangkan sedang melakukan rutin yang cukup membosankan...??

Monday, May 2, 2011

Harapan itu masih ada!


Kadang-kala, kita memerlukan harapan untuk terus bernafas.
Kita perlukan galakan dan dorongan.

Benarlah, jalan dakwah sememangnya penuh dengan dugaan dan cubaan.
Tapi, dengan susunan perkataan yang indah, segala kesusahan itu akan dirasakan terlalu kecil jika hendak dibanding dengan kebahagiaan yang telah kita rasai. Kebahagiaan memperoleh nikmat kefahaman itu. Seharusnya jauh lebih menggembirakan berbanding dengan apa2 kesusahan pun.

Sakit apa pun yang kita rasa, anggaplah ia benih yang disemai untuk dituai kelak di syurga.

Andai segala pintu rezki tertutup erat, anggaplah ia petanda akan tibanya rezki yang baru dariNya. Takkanlah kita akan dibiar terkapai-kapai dalam dunia ini...

Genggamlah seerat-eratnya Al-Quran dan sunnah Rasulullah.
Itulah rahsia kebahagiaan yang kita kecapi ini.

Dan senyumlah...
Barangkali senyumanmu bisa menjadi penawar duka ikhwah yang sedang kecewa.

Ayuh, sama-sama kita hidupkan mindset ini, mindset seorang Muslim yang senantiasa tenang dan redha, yakin dan percaya, segala-galanya pasti akan selesai.

HARAPAN ITU MASIH ADA!



Saturday, April 23, 2011

Arus Islam



Pernah tak anda terfikir yang anda sedang menanggung satu bebanan yang saaaannnngggaaattt berat? Ya, bebanan dakwah itu, anda rasakan sangat berat dan seolah tidak mampu untuk anda galas? Pernah? Hrmmm....

Siapa kata dakwah itu tidak berat.
Mana tidaknya, matlamatnya adalah untuk mengubah seluruh dunia. Bukan untuk main-main je. Bukan setakat memenuhi portfolio jawatankuasa yang ada dalam persatuan mcm zaman sekolah dulu. Bukan untuk bawak usrah sahaja. Tapi matlamatnya, adalah untuk mengubah satu DUNIA!!!

Fuuhh... Kalau mcm tu.. Super berat+susah+pengsan la nak buat dakwah ni. ekk?

Hoho... Nope-nope-nope.... Ya Ikhwati Fillah;

Cuba hayati bait-bait tulisan Syed Qutb ini.

“Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini.

Jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini,kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang,” as-Sayyid Qutb rahimahullah.


Indah bukan?

Cuba perhatikan kiri dan kanan anda. Anda akan dapati, arus Islam itu semakin kuat. Perhatikan manusia-manusia yang diluar sana. Tidakkah makin ramai yang semakin menghampiri Rabbnya?

Itulah tandanya, sifat Islam itu sendiri, sudahpun menjadi satu pejuang, dalam memenangkan arus Islam. Dan, ketahuilah, sudahpun makin ramai yang menawarkan diri untuk memikul beban yang kau katakan berat dan mustahil itu. Sudahpun beratur insan-insan yang ingin mewakafkan diri mereka untuk perjuangan ini. Tandanya, ia tidaklah susah, dan ia tidaklah mustahil.

Ya, kita hanyalah satu matarantai, dari sebuah perjuangan yang panjang.

Benar, dakwah kita adalah untuk mengubah keseluruhan manusia, tapi bukan dengan kita melibas dunia dan memaksanya mengikut arus Islam. Tidak, Islam sifatnya bukan menghentam Jahiliyyah, sebaliknya, Islam sifatnya memahamkan manusia Jahiliyyah itu jahil, dan Islam itu Siddiq. Dengan ini, akan beralihlah manusia dari arus Jahiliyyah, dan seterusnya menyertai arus Islam.

Dan usaha untuk memahamkan keseluruhan dunia dengan hakikat ini, adalah satu perjuangan yang panjang. Namun, ianya pasti. Kita adalah matarantai. Maka perhatikanlah, setiap matarantai itu tidak boleh bersifat lemah. Kerana andai ia lemah, pastinya ia akan menjadi titik punca, ia akan menjadi weakest link, yang seterusnya akan dilibas jahiliyyah, dan tatkala ia terputus, maka akhi, ingatlah, saatnya matarantai itu terputus, akan lesaplah keseluruhan perjuangan yang direncanakan.

Tugas kita, adalah untuk mengubah keseluruhan dunia, dan caranya adalah untuk menyediakan perajurit Islam, yang jauh lebih hebat dari diri kita sendiri. Dengan inilah, baru arus Islam itu makin lama makin teguh, makin lantang, dan makin kuat.

Persoalannya.... sudahkah kita mencari perajurit-perajurit yang mendahagakan sinar Islam?
Sudahkah kita bina pemahaman mereka ini, sehinggakan kita tiup roh Islam untuk mereka bangun dan berperang?

Ya, sifat Islam itu sendiri sudah menjadi daya tarik yang sangat berkuasa. Tugas kita, cukup sekadar menunjukkan jalan untuk mereka berjumpa Islam. Tidak susah bukan?

Jadi jom...!!! Kita gabungkan diri kita dengan arus Islam, dan sama-sama kita tewaskan Jahiliyyah!!

Wallahua'lam.

Friday, April 22, 2011

Dakwah Itu Indah



Tak percaya?

Dakwah adalah keindahan, yang manisnya tiada tandingan.
Keindahan yang memukau, yang terus menusuk jiwa seolah tiada lagi yang selainnya.

Dengan dakwahlah, kita dapat merasai ''kewujudan'' diri kita yang sebenarnya.
Oh, aku punya peranan sebenarnya dalam dunia ini.
Kita seolah diberi nilai, oleh Yang Maha Menilai.
Keindahan apakah yang dapat menandingi perasaan ini?

Dengan dakwahlah, kita dapat menguji keimanan kita yang sebenarnya.
Oh, amalku selama ini, apakah ia membina keimanan, atau sekadar ritual harian?
Apakah benteng iman mampu mendokong dakwah, atau sekadar perhiasan untuk tontonan?
Dakwahlah padang pembuktian iman, medan pameran untuk Tuhan.

Dakwahlah, medan untuk menggunakan apa sahaja yang kita ada,
Kerana jika bukan disini, mana lagi tempat kita berbakti?
Inilah medan paling menguntungkan, ganjarannya bahagia, dunia dan syurga
Keindahan paling tinggi, yang boleh digapai pemikiran ini.

Maka keindahan apakah yang dapat menandingi semua ini?

Benarlah dakwah itu ada pahit manisnya.
Tapi percayalah, pahit itu hanya satu proses, untuk kita menjerang kemanisan yang tiada tolok tanding. Keindahan yang kekal abadi. Kebahagiaan.

Lihat pada manusia-manusia ajaib dunia ini. Syed Qutb. Dicabar dakwahnya dengan seluruh isi dunia. Ternyata, tidak bergegar walau sedikit manisnya dakwah. Dia ditawarkan pembebasan dari penyiksaan, malah diberikan peluang untuk apa sahaja permintaan, hanya dengan meminta maaf atas perjuangan penentangannya pada taghut, tapi dengan penuh indah dia tersenyum, dan menolak tawaran tersebut. Marhaban untuk mati diatas jalan Dakwah katanya.
Apakah ini bukan bukti keindahan?

Bagaimana pula dengan Zainab Al-Ghazali? Beliau diberikan pembebasan dari penjara penuh penyiksaan, dengan syarat untuk keluar dari jalan Allah. Syarat pembebasannya, hanyalah berhenti meneruskan dakwah Ila Allah. Dia diminta untuk berhenti sebagai mahar pembebasan. Apa jawapan Zainab? Tentu sekali TIDAK. Sedang kalau kita, pasti sahaja dengan rela hati tanpa segan silu menerima tawaran itu.

Tidakkah ini sebagai satu bukti indahnya dakwah?

Jadi, tatkala terasa lemah, terasa longlai, terasa futur, ingatlah suatu perkara.

Dakwah itu indah.
Dakwah itu indah.
Dakwah itu indah.

Apatah lagi, bila dakwah itu menuju keindahan=marodhotillah.

Jom, kita check balik. Apakah rasa lemah dan longlai kita dalam ''medan perang'' ini atas sebab kita tidak pernah sedar akan indahnya dakwah?

Wallahua'lam.



Friday, April 15, 2011

Gemerlapan Tarbiyyah


Satu perkara yang KITA perlu jelas tentang tarbiyyah ini, ialah ia adalah satu manhaj taghyir(perubahan), yang mengubah sedalam-dalamnya, segala apa yang ada pada diri KITA, dari yang biasa-biasa, kepada luar biasa hebatnya.

Kerana tarbiyyah kita, adalah untuk membentuk para pemimpin dunia, yang akan mengibarkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Andai seorang pemimpin biasa pun peribadinya sudah dahsyat, apatah lagi seorang pemimpin yang ingin mengubah satu dunia, dari kegelapan kepada cahaya.

Adalah perkara normal diatas jalan ini, untuk seorang daie melakukan kesilapan dan kesalahan, yang kadangkala ia sendiri tidak sedar akan kesilapan itu. Mana tidaknya, sebelum menerima sinar tarbiyyah, KITA semua berada dalam kegelapan yang nyata, hitam pekat yang tiada cahaya. Maka tatkala mula diajar dengan kebenaran, pasti sahaja ada sifat-sifat yang perlu kita buang, yang perlu kita cantas dan bentuk. Pasti sahaja, ada perkara-perkara yang kita sendiri tidak sedari, sebenarnya memberi kesan negatif untuk dakwah. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengubah diri kita untuk dakwah?

Kesedihan yang paling mengecewakan, adalah apabila mula bertatih diatas jalan ini, ramai daie menyangka dakwah itu seharusnya "gembira" dengan sumbangan yang telah ia berikan. Ramai Daie menyangka, dakwah ini sebegitu mudahnya. Sifat-sifat yang jahiliyyah yang masih melekat dalam dirinya, disangka wajar ''diterima'' oleh dakwah, kononnya dakwah harus memahami ''sejarahnya'', dengan alasan ini, mula menjustifikasikan segala kekurangan yang ada pada dirinya.

Wahai Para Daie,
Seharusnya, seorang daie tidak boleh pernah merasakan "oh, aku tidak boleh ini dan ini... Kerana sejarah silamku begini dan begini." Seorang daie tidak langsung boleh "redha" dengan kelemahan yang ada pada dirinya. Bukan bermaksud kita melawan takdir Illahi, namun kita seharusnya "menghilangkan" segala kekurangan yang ada dan menjadikan diri kita sesempurna yang mungkin, kerana hanya daie yang "sempurna" layak memperjuangkan Islam.

Jika kita merasakan kita tidak mampu senyum, jangan sekali-kali kita menyalahkan cara pembesaran kita, kerana walau apapun alasannya, ia tidak akan pernah mengizinkan seorang daie bermuka muram.

Jika kita merasakan kita tidak mampu untuk memandu, atau memasak, atau bercakap, ingat, tidak akan pernah ada alasan untuk mengizinkan kita terus dengan kelemahan tersebut.

Kerana tarbiyyah itu bisa merubah, segala-galanya.
Ia akan menjadikan diri kita seorang yang kita sendiri tidak pernah sangka akan jadi sebegitu.
Syaratnya, kesanggupan untuk "ditarbiyyah". Kesanggupan untuk berubah. Kesanggupan untuk berkorban, berjuang tanpa kenal penat. Dalam menjadi, seorang kader dakwah ini.

Kecewa apa yang lebih tinggi, daripada kecewa mendengar rungutan seorang daie, yang mengadu kepenatan, yang mengungkit pengorbanan, yang degil dari kesalahan. Siapakah diri kita untuk merugikan dakwah sebegini? Apakah kita sangka kita layak mendapat rehat, kita berhak mengadu penat? Wahai para duat, kita ini hamba, HAMBA! Mana mungkin sampai terpacul kata-kata "keji" mengadu dan merungut dari bibir seorang hamba!

Jika benarlah itu kata-katanya, maka mungkin segala ucapan yang sering kita ucapkan tentang cita-cita, tentang syurga, tentang ridho Tuhan, segalanya, mungkin hanya satu mimpi dari kota Fantasi.

Wallahua'lam.


Tuesday, March 22, 2011

Benarkah kita diatas Kebenaran?


Dalam Al-Quran, Allah sering mengaitkan kebenaran dengan cahaya, dan kebatilan sebagai zulm(kegelapan). Pernahkah kita terfikir mengapa..???

Hakikatnya, cuba kita bayangkan sebuah bilik yang gelap. Inilah perumpamaan sebuah kebatilan, penuh disulam kejahilan yang pekat hitamnya. Kemudian, datang pula sebuah kebenaran, yang berupa cahaya. Pada waktu inilah, kegelapan itu dipecahkan oleh cahaya. Kebenaran akan menutup segala kebatilan.

Kata-kata seorang teman,

Gelap itu tandanya tidak ada cahaya. Batil itu juga tandanya tiada Al-Haq.
SubhanaAllah... Tepat sungguh kata-kata ini! Batil dan Haq itu bukannya dua entiti yang berbeza, sebaliknya ia merupakan tanda tidak wujudnya yang satu lagi. Umpama malam dan siang, umpama panas dan sejuk. Tidak wujud pertarungan antara dua elemen ini, yang ada hanyalah sama ada Batil, ataupun Al-Haq!!

Maka ikhwati fillah...

Cubalah tanyakan pada diri kita, apakah kita ini cahaya ataupun kegelapan. Apakah kita ini sebuah bilik yang terang ataupun gelap? Adakah dalam diri kita sudah tertegak Al-Haq, atau masih dalam timbunan runtuhan kebatilan? Sekali lagi, katakanlah pada diri kita, andai kita benarkan cahaya itu memasuki hati kita, maka akan terlerailah satu-persatu kejahilan. Jahiliyyah tidak akan pernah mampu untuk bertarung dengan kebenaran..

Dan andai benar kita membenarkan cahaya menerangi kamar kegelapan kita, maka hayatilah...
Fahamilah dan amatilah, kisah perjuangan kekasih kita, Ar-Rasul SAW, dalam siri dakwah baginda dalam mengislah ummat manusia seluruhnya. Bagaimana sehingga Nabi digelar gila dan tidak siuman, gara-gara penuh konsentrasi dan komitmen dalam menyampaikan Islam.


Kata orang, bila kita benar-benar berada diatas kebenaran, maka kita akan menjadi super-gila. Kerana hakikatnya, kebenaran itu adalah gila, dimata yang masih kabur akan perjalanan kehidupannya. Tanyalah diri kita, adakah kita telahpun menjadi gila, sehinggakan kita sanggup meninggalkan segala-galanya. Kita sanggup tinggalkan harta, kepentingan dunia, keinginan hati, segala-galanya!! semua ini, semata-mata, demi menjadikan bilik kita bercahaya, kerana kita tahu, kegelapan yang ada, hanyalah tanda kita masih belum bersedia meneranginya.

Wallahua'lam.


Tuesday, March 8, 2011

Tak semua orang masuk syurga..


Hohoho... mungkin anda akan merasakan tajuk post kali ini agak kasar/keras.
Hrm... tapi apakan daya, memang itu hakikatnya. Takkanlah saya nak berbohong semata-mata kerana tidak mahu berlaku keras/tegas kan???

Hrm... cuba lihat di kiri dan kanan anda. Kawan-kawan anda, abang-abang senior anda, adik-adik junior anda, sheikh-sheikh yang mengajar anda, pak arab-pak arab, semuanya sekali. Bayangkan, dalam ramai-ramai orang yang berbuat kebaikan, yang sekali pandang sahaja mereka ini, kita sendiri akan merasakan saaannggaaat kerdil nak bandingkan dengan amalan mereka, hanya beberapa sahaja dari kalangan ini yang akan masuk syurga. Errrkkk!! maksudnya, yang lain-lain akan ke neraka??

Menakutkan, ya?
Macam mana kita nak lebih ''tinggi'' chance masuk syurga, sedangkan dah raaaammmaaaaii orang yang lagi hebat dari kita? seolah-olah, mcm dalam lumba lari, kita dah ketinggalan 400m. Macam mana nak kejar semula, betul tak? Habis tu... Kira kita memang masuk neraka lah?

oh.. Tidak, sudah tentu tidak...
Disebabkan kita diizinkan untuk merasai nikmat kesedaran sedikit lewat berbanding dengan kawan-kawan, abang-abang yang lain, bukanlah bermaksud kita berada di belakang dalam perlumbaan meraih ridho Allah. Tapi kerana Allah mengetahui, dengan kapasiti dan had kita, dengan kesungguhan dan kemampuan kita, sebenarnya kita mampu untuk melakukan perkara-perkara yang lebih dahsyat dari mereka. Amal mampu jadi sebesar/lebih besar dari amal mereka. Kita sebenarnya boleh lebih banyak pahala berbanding mereka. Ya, kita sebenarnya boleh menjadi lebih hebat dari pak arab dan sheikh-sheikh. Dari abang-abang kita.

Cuma kuncinya disini....
Dimana kesungguhan kita? Dimana kemahuan kita??
Himmah(semangat) punya 3 rukun yang cukup cantik.
1-Iradah(keinginan) yang kuat
2-Respon Cepat pada benda-benda yang ada
3-Istiqomah dengan perubahan/peningkatan yang cuba dilakukan.

Kalaulah semangat yang ada dalam diri kita pun hanya seciput buah rambutan..
Hoho... Maaf cakaplah, mungkin syurga tu melampau kut untuk even kita mimpikan.
Macam orang yang duit tak ada, kerja pun tak ada, semangat nak cari kerja pun tak ada, tapi nak mimpi beli satu negara.

Macam saya cakap, melampaulah!

Point dia disini, dimanakah semangat kita? Dimanakah kesungguhan kita? Dimanakah keinginan kita? Dimanakah rasa hamba kita? Heyy!! Kita dah dengar syahadatul Haq. Dah tahu hakikat dan tanggungjawab yang kita pikul terhadap kalimah syahadah yang kita ucapkan. Apakah ianya terhenti disitu sahaja??

Maka persoalan yang perlu kita tanya setiap saat.
Betulkah kita ini ingin masuk syurga?
Ataupun.... kita just rasa nak masuk syurga sebab semua orang lain nak masuk syurga??
Hey, tahu ker apa dalam neraka tu?
panas jer??
Hey, neraka tu adalah tempat berhimpunnya orang-orang zalim, kejam, kufur, degil, jahat. Namakan sahaja. Firaun? Namrud? Qarun? SEMUA nya dalam neraka.
Bahkan syaitan si penghasut pun akan bersemayam didalamnya.
Dan ketahuilah, mereka semua akan tinggal disana SELAMA-LAMANYA. Kalau kita masuk neraka... Kita juga adalah makhluk yang sebaris dengan mereka dalam amalan. Kita juga akan berada dalam neraka SELAMA-LAMANYA. Beranikah kita??

Syurga itu mahal harganya.
Kalau orang lain telah membuat bidaan yang tinggi padanya, apakah kita sangka dengan hanya mengetahui mahalnya syurga sudah cukup untuk melayakkan diri kita memasukinya?
Di mana semangatmu?
Apa kau ingin dibaham api yang menyala?

Sedangkan neraka sendiri sudah tidak termampu menelan kesemua manusia-manusia yang leka dan tidak patuh pada Tuhannya.

Ingatlah, tak semua orang masuk syurga.
Mungkin sekarang kita mampu gelak ketawa dan gembira dengan ukhuwah, dengan manisnya gurau senda, dengan seronoknya main-main, ingatlah...
Satu hari nanti ini semua akan menjadi hujah, sama ada hujah untukmu atau hujah kepadamu.
Maka, bersiaplah...

Tak semua orang masuk syurga. tapi pastinya kita ingin tergolong didalamnya.
Jom, kita tunjukkan semangat kita kepada Allah, lebih dari semangat yang ditunjukkan oleh orang disekeliling kita.
Biarlah Allah sendiri mengingati kita sebagai "hambaku yang cukup bersemangat dengan amalannya yang memuncak itu..."

Ya Allah, redhakanlah Kami sebagai hamba yang kau redhai.
Dan jadikanlah kami orang-orang yang bermakna kepada agamaMu ini Ya Rabbi..
Aamin..

Wallahua'lam

Friday, March 4, 2011

Hidayah jarang datang bertandang..


Sungguh, manusia itu jarang sekali bersyukur. cukup naif bila bercakap tentang penghargaan. Kita butuhkan segala macam ganjaran, layanan. tapi bila mula dihitung usul penghargaan.... mungkin sekali kitalah yang paling tidak memahami atau lebih teruk, kitalah yang paling menentang konsep menghargai ini. Kita nistakan si pejuang dengan kata-kata pertikaian keikhlasan, kita jolokkan jihadnya dengan tuduhan-tuduhan melampau. Apakah ada tempat untuk orang seperti ini dihadapan Allah kelak?

Itu baru penghargaan kita dengan manusia. bagaimana pula dengan Pencipta kepada manusia tersebut?

Sadarkah kita, betapa banyak peristiwa yang telah disusun dalam kehidupan kita untuk dititipkan dengan secebis nikmat hidayah? rasa izzah dan cinta kepada ad-deen. rasa tanggungjawab, rasa hina diri, rasa bersalah, rasa loser dan rasa kecewa dengan amalan kita yang lesu. Apakah anda rasa perasaan ini biasa? Hey!! Inilah pintu-pintu kepada hidayah!
Siapa sahaja yang diberikan peluang untuk rasa dirinya loser? Betapa ramainya orang diluar sana yang merasakan dirinya cukup hebat dan ditenggelami ego dan kerakusan. Betapa ramainya orang diluar sana yang tidak punya rasa bersalah, rasa hina, kecewa dengan hidupnya.

Semua inilah pintu hidayah wahai ikhwah kesayanganku.
Tatkala kesemua pintu-pintu ini ditutup, dan kita merasakan cukup. Maka istighfarlah..
Mungkinkah hati kita sudah menjadi terlalu hitam hinggakan tiada cahaya yang menerpa..

Masalah ummah hari ini, tatkala didatangkan dengan perasaan-perasaan sebegini, tidak pernah berlaku muhasabah yang berpanjangan. dan tentunya, tidak ada berlakunya tindakan sebagai langkah penjagaan semangat. biasanya semangat yang ada itu dibiarkan terkubur dek tiada tindakan. Maka, boleh jadi kita yang suatu masanya menangis kerana rasa bersalah pada tuhan, kecewa kerana rasa hina, kini tidak lagi merasai perasaan-perasaan itu, bahkan yang lebih teruk, kita merasakan kesemua perasaan itu hanyalah mainan emosi. dan kita terus menolak tentang segala perkara dan peristiwa yang membawa kita kepada tahap tersebut.

Saat tercabutnya perasaan-perasaan ini dari lubuk hati kita..
Ujilah tahap keimanan kita, kerana hakikatnya ia terlalu rendah hingga tidak layak diuji Allah sekalipun. Rupa paras, kacak wajah dsb,
kesemuanya kita akan inilai berdasarkan keimanan.

Dan perhatikanlah!!
Jika benar kita telah meninggalkan saat-saat sedemikian, apakah kita masih lagi punya perasaan/keazaman yang serupa pada waktu ini? Ataukah kesemua itu sudahpun ditenggelamkan dek dahsyatnya arus nafsu dan gelojaknya haloba. Ketahuilah, hidayah tidak bertandang berkali-kali. Apabila ia datang sebaliknya kita tidak menghargainya, kita tidak mengendahkan ia, ataupun kita hanya menyambutnya buat beberapa ketika, kita tidak menggengam seerat mungkin....
Ketahuilah, perasaan itu mungkin pergi, dan tidak akan kembali, buat selama-lamanya...

Saya doakan, moga Allah titipkan semangat dan keazaman kepada seorang teman yang saya kasihi, supaya Allah kembalikan roh Islam yang dahulunya mekar dalam jiwanya. Moga Allah menjaga kita semua dari kemunafikan, dari kelesuan dan kereputan himmah.

Benar, sekali kita terlepas dari tiang hidayah, alangkah sukarnya untuk kita kembali memegang erat dan melekat padanya.

Ya Muqallibal Qulub...
Tsabbit ala deenik.

Aamin.

Tuesday, March 1, 2011

Andai kita sedar betapa singkatnya hidup ini...

Berapa ramai antara kita yang berkobar ucapannya dalam bermadah tentang perjuangan, tentang pengorbanan. beriya-iya kita mengibarkan bendera pengorbanan.

Tapi sayangnya, dalam puluhan daie yang sanggup berjuang ini, hanya tinggal berapa sahaja yang benar-benar bekorban??
Cukup ramai yang tertapis, dek tak tertahan pengorbanan dan permintaan yang dibutuhkan dakwah ini. Siapa mampu, untuk mengorbankan jiwa dan raga sepenuhnya, tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ya, kita beri itu dan ini, kita curahkan tenaga, kita infaqkan sepenuhnya masa, kita beri segala macam harta yang kita punya... kemudian, buussshh!!!! kita dihentap lagi dengan ujian, kita dicucuh lagi dengan api kesakitan dan penderitaan.
Oh, apakah peperangan yang kita hadapi ini??

Ya, inilah jalan dakwah, yang mana orang-orang yang mahu berjalan diatasnya perlu sedar, sepanjang perjalanan setiap titis darah perlu sedia dikorbankan, setiap detik masa perlu sedia diinfaqkan, setiap cebisan harta perlu sedia dihulurkan. Kerana kita hidup bukan untuk kita, sebaliknya kita hidup sepenuhnya untuk perjuangan fikrah Islamiyyah ini. Kita hidup sepenuhnya untuk Allah. Kerana kita sedar, betapa singkatnya kehidupan sebelum kematian ini.

Dan, adapun para daie yang masih tsabat dan masih berjuang, betapa ramai pula antara mereka kekal bernafas dengan meletakkan limitasi pada perjuangan mereka. Lihatlah betapa rendahnya mereka meletakkan limit pada diri mereka. Masa hanya dikorbankan apabila diminta. Tenaga hanya dicurahkan apabila dipujuk. Komitmen hanya dihulurkan apabila ditanya. Harta hanya diinfaqkan apabila sesi pujuk rayu dan taujih yang panjang dilaksanakan. Oh, betapa lemah dan kerdilnya jiwa kita??!!

Apakah janji Allah tidak terlalu indah untuk kita nafikan.
Apakah ridho Allah tidak cukup lumayan untuk kita perjuangkan.
Apakah cinta Allah tidak terlalu melekakan untuk kita ghairah kejarkan.

Andai kita sedar betapa singkatnya hidup ini, pastinya pengorbanan bukan lagi satu persoalan, kerana kita tahu, apa yang kita beri adalah satu benih yang kita tanam untuk kita tuai di syurga kelak...


Friday, February 25, 2011

Daie yang Lemah


Apakah perasaan anda selepas berjaya menamatkan satu pertandingan lumba lari 100m??
Pasti anda rasakan, penuh gembira dan syukur, serta sangatlah bangga kerana berjaya menamatkan satu pertandingan yang cukup membutuhkan sepenuh konsentrasi dan tenaga.

Bagaimana pula perasaan anda, setelah menamatkan pertandingan lumba lari 400m??
Pasti anda rasakan, penuh gembira dan syukur, serta sangatlah bangga kerana berjaya menamatkan satu pertandingan yang amat memenatkan, serta mencabar.

Bagaimana pula perasaan anda setelah menamatkan pertandingan bola sepak???
Pasti anda rasakan, penuh gembira dan syukur, serta sangatlah bangga kerana berjaya menamatkan satu pertandingan yang cukup panjang, cukup penat, cukup menyeksakan.

Itulah kita.
Tak sabar mencari garis penamat dalam setiap perbuatan yang kita lakukan, semata-mata untuk menghela nafas lega, nafas "penamat".

Dakwah ini bukan seperti "cooling down", yang mana pada akhirnya ada part yang kita tarik nafas dan tahan sebelum hembus kuat-kuat.

Dakwah ini bukan seperti kita mengambil semua benda dan masukkan dalam beg kita supaya makin lama makin berat, sehingga lepas dari satu berat tertentu, kita boleh lepaskan dan rasa gembira kerana telah berjaya.

Itu bukan dakwah.

Daie yang menganggap itu dakwah, barangkali punya nafsu dakwah yang cukup rendah dan lemah. Barangkali, tidak punya keazaman dan keberanian setinggi mana. Barangkali, tidak punya kemampuan untuk bertahan walau sekejap.

Dakwah ini tidak ada penghujungnya.
Bagi mereka yang suka mencari garis penamat, khabarkanlah pada jiwa anda, anda telah memilih jalan yang salah.

Tidak mungkin akan wujud walau sesaat pun dari usia seorang daie itu, dimana waktu dia layak untuk menghela nafas lega dan tenang kerana berjaya.
Kerana selagi belum menjejak kedua belah kaki kedalam syurga, maknanya kita masih belum berjaya. Hatta kita berjaya mentajmik, malah mentakwin beribu orang Murabbi sekalipun. Itu belum cukup untuk menjadi sijil supaya kita layak untuk menghela nafas lega.
Rehat bagi seorang daie adalah bukti kelalaiannya.

Masalah daie hari ini, kita sering mengharapkan agar dakwah ini seperti lumba lari. Pecut selaju mungkin, nanti kita boleh rehat cepat dan awal kerana sudah berjaya.

Sedangkan dakwah itu seperti Marathon. Terus dan terus berlari.
Yang penting adalah tsabat sepanjang usia, bukan sekadar laju pada awalnya, kemudian perlahan-lahan mula menyusup dan seterusnya lesap dari pandangan.

Ayuh, berhentilah kita mencari garisan penamat, tapi marilah kita gigih untuk terus dan terus berlari tanpa henti walalu sesaat. Futur itu, juga adalah jahiliyyah.

Jahiliyyah ini, tidak memerlukan kita untuk melakukan kesemua dari komponennya untuk kita menjadi pendokong jahiliyyah. Bahkan, cukuplah untuk kita lakukan sezarah sekalipun jahiliyah. Ia akan merebak, sedikit demi sedikit. Mungkin kita mulakan dengan habuk kecil, tapi dengan masa dan syaitan yang ada, habuk itu mungkin akan mnjadi punca kepada terbina tembok besar yang memisahkan antara dua tempat akhir, syurga atau neraka.
Sifatnya, adalah ketagih. Once you commit Jahiliyyah, it will be very difficult for you to leave it.

Pengajarannya.
Seorang daie perlu dan harus melihat jauh kehadapan, dan sepatutnya mempunyai keazaman dan kesungguhan yang berterusan hingga ke hujungnya.

Akhir kata:
"Jihad itu bukan untuk 1 tempoh masa, tetapi untuk selama usia masih tersisa"

Wallahua'lam.

Friday, January 28, 2011

Aturan Tuhan



Alhamdulillah. Satu kalimah yang sebenarnya cukup untuk menitiskan airmata seorang muslim. Seorang yang mengerti akan hakikat kehambaan, kehinaan dan kekerdilan yang ada pada dirinya. Apa lagi perasaan yang bisa terlintas saat kalimah ini terpacul? Kalimah yang memuji Yang Maha Satu, yang padanyalah segala bentuk penghargaan wajar diajukan, kerna Dialah yang menyebabkan segala sesuatu terjadi.

Hari ini kita juga tertolak naik dek melihat semangat dan keinginan saudara-saudara kita di Tunisia, di Yaman dan di Mesir melawan kekejaman kerajaan. Dahsyat sungguh perjuangan dan keinginan mereka dalam menegakkan apa yang mereka merasakan kebenaran. Keadaannya umpama seorang ayah yang sanggup mengharungi lautan api demi menyelamatkan anaknya. Demikianlah kesanggupan saudara-saudara kita dalam perjuangan yang mereka kobarkan sebagai menegakkan keadilan. Kesemua ini, apakah kita sangka berlaku dengan tiba-tiba? Apakah dengan tiba-tiba semua orang di Mesir terseru untuk berarak? Sudah tentu TIDAK!

Ruh kebangkitan mereka ini lahir dari tindakan Ahmad Bouazizi, yang merupakan seorang graduan yang tidak punya pekerjaan, yang telah membakar diri. Allahua'lam, saya tidak punya kuasa untuk menjatuhkan hukum atas tindakannya yang membakar diri sendiri, apakah ianya dibenarkan disisi Islam. Tapi apa yang ingin saya tonjolkan, adalah hidup kita ini sememangnya memerlukan 'spark'. Memerlukan satu tamparan, satu terjahan yang benar-benar membuka mata dan mencelikkan hati kita. Ia umpama ''activation energy'' dalam satu-satu proses kimia. Selagi tidak cukup, maka selagi itulah segala proses/reaction tidak akan berlangsung. Jika seorang mekanik pula, ia umpama pembakaran ''spark plug''. Spark plug inilah yang telah mencetuskan pembakaran minyak, sebelum pembakaran berterusan boleh berlangsung.



Begitu jugalah kita sebenarnya. Kita memerlukan satu 'spark' yang bisa menggerakkan hati kita untuk benar-benar memahami/mendalami Islam. Spark inilah yang akan benar-benar membuka hati kita dengan menyedari segala ke'dhoif'an kita, serta kekurangan kita dalam menyempurnakan tugas hidup kita. Benar, mungkin kita boleh kata aku seorang muslim yang baik. Aku berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan. Tapi, tanyalah diri kita, apakah segala bentuk amalan yang kita lakukan setiap hari ini, mampu untuk membalas nikmat walau sebelah mata yang Allah kurniakan pada kita? Jika jawapannya tidak, maka adalah satu perkara logik, jika saya mengatakan, Allah berhak menarik/melakukan apa-apa pun yang Dia mahukan. Boleh sahaja, Dia menarik nikmat pancaindera kita, boleh juga jika dia terus membutakan mata dan hati kita dari menerima sinaran Islam.

Maka, tatkala kita menyangka kita adalah muslim yang baik, maka carilah dan semaklah diri anda. PASTINYA kata-kata itu akan hanya terpacul dari hati yang telah dibakar dengan dosa-dosa maksiat, hinggakan hati tadi hangus kehitaman. Tragedi sebeginilah, yang me'mati'kan raaammmaai sangat insan-insan di dunia. Tanyalah diri kita dengan sejujurnya, apa sebenarnya darjat aku dihadapanNya. Sejauh mana aku mahu dilihat mulia disisi Allah?

Namun.....
Ketahui jugalah. Spark yang kita peroleh, tamparan dan kejutan yang kita peroleh, sangatlah sedikit sebenarnya jika hendak dibandingkan dengan keadaan keseluruhan kita. Bayangkan semula contoh spark plug sebentar tadi. Kalaupun berlaku 'spark', dan ada percikan api, namun sayangnya minyak tidak berada berdekatan dengannya, ataupun ada komponen-komponen enjin yang menyebabkan enjin tidak berfungsi dengan baik, maka boleh jadi 'spark' tadi hanya sia-sia dan tidak berguna. Sangatlah sia-sia.

Hal inilah yang terjadi di kebanyakan majlis-majlis yang ada hari ini. Mungkin sahaja, penyampaian yang penuh semangat dan kesungguhan, mampu menggegarkan hati si pendengar. Tapi selepas itu, maka tamatlah segala jenis ''follow-up'' yang ada. Seolah matlamat sudahpun tercapai. Hal ini SALAH!

Kita bukannya mahu melihat 'spark plug' tadi menyala, sebaliknya kita mahu melihat kereta ini berjalan. Spark plug tadi hanya satu langkah awal, yang mana kita mungkin perlukannya sangat-sangat, tapi setelah adanya ia, tanpa benda-benda penting lain, boleh jadi spark plug itu kan jadi sia-sia semata-mata. Maka.... Adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk menyusun hidup kita untuk mencari dan terus mendalami makna sebenar kehidupan.

Boleh jadi, kita telah diberi petunjuk berkali-kali, sehinggalah datangnya 'amaran' dariNya. Apakah pada waktu itu, kita masih ingin berdalih dan menolak??? TIDAK MUNGKIN!!!
Itulah pentingnya kita untuk senantiasa mencari dan berfikir. Sungguh, apapun jenis perancangan yang ada didalam kepala kita, hakikatnya, perancangan Allah-lah yang paling tepat dan bijak. Boleh jadi, kehebatan Allah itu telah terbukti, dengan Dia sendiri menyusun hidup kita untuk berlaku sebegini. Kita mungkin tidak pernah meminta hidayah, tapi ia sendiri yang datang kepada KITA.

Boleh jadi, kita assyiiikkk sangat dengan urusan duniawi. Maka, pada waktu itu, Allah menguji kita dengan pelbagai kesusahan. Sebenarnya, Allah mahu kita kembali mengingatiNya.

Sungguh, perancangan Allah-lah yang terbaik~

"Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, sedangkan ia baik untuk kamu, boleh jadi kamu suka akan sesuatu, tetapi ia buruk untuk kamu."
(2:216)


Memang cantik kan ayat nih?
=)
Wallahua'lam.